FORMAT PEPERIKSAAN MATEMATIK

Isnin, 30 November 2009 ·

FORMAT PEPERIKSAAN MATEMATIK oleh "alf"

Semua calon UPSR akan mendapat soalan dalam dwibahasa. Anda boleh menjawab soalan tersebut mengikut bahasa yang anda kuasai dengan baik. ini penting kerana masa yang diperuntukkan amat terhad, dan anda jangan leka untuk membaca semua soalan dalam kedua-dua bahasa tersebut. Pilih bahasa yang mudah untuk difahami berkaitan dengan maksud soalannya.

Murid perlu faham dengan jelas berkaitan dengan Kertas matematik UPSR. Perkara ini sangat mustahak kerana anda perlu bersedia lebih awal dengan cara, bentuk dan kemahiran soalan untuk memberikan jawapan dengan tepat dan lengkap.

Mata pelajaran Matematik terbahagi kepada 2 kertas, iaitu Matematik Kertas 1 yang mmpunyai 40 soalan diberi empat pilihan jawapan, manakala Matematik Kertas 2 dengan 20 soalan berbentuk subjektif.

PENGENALAN KERTAS 1

Matematik Kertas 1 peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Mengandungi 40 soalan objektif aneka pilihan. Tiap-tiap soalan diikuti dengan empat pilihan jawapan, iaitu A, B, C dan D. Antaranya ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan yang betul itu. Calon dikehendaki memilih hanya satu jawapan yang betul. Kemudian, pada kertas jawapan hitamkan ruangan yang mempunyai huruf yang sama dengan jawapan yang dipilih itu.

2. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab kertas soalan ini ialah satu jam (60 minit). Calon dikehendaki menjawab semua soalan.

3. Calon tidak perlu menunjukkan langkah pengiraan.

4. Bagi memanfaatkan masa, calon sepatutnya pandai mebahagikan masa. Jawab soalan yang mudah dahulu diikuti dengan soalan yang lebih sukar. Sediakan juga masa untuk menyemak jawapan.

Bagi memudahkan anda memahami kertas ini, dinyatakan maklumat ringkas seperti dalam jadual di bawah















Bentuk Soalan Kertas 1

1. Kandungan soalan Matematik Kertas 1 mencakupi semua topik dalam sukatan pelajaran dengan kemahiran yang lebih tinggi daripada kemahiran asas.

2.Berdasarkan soalan lalu, bentuk soalan Kertas 1 boleh dibahagikan kepada dua, iaitu
* soalan bentuk lazim (mekanikal)
* soalan penyelesaian masalah

3. Antara 8 hingga 10 soalan yang dikemukakan dalam bentuk soalan mekanikal yang berdasarkan angka dan simbol operasi. Dalam soalan ini, calon hanya perlu membuat kiraan terus berdasarkan operasi yang ditetapkan. Sebagai contoh,
6 785 x 89 =
4. Sekitar 30 soalan lagi dikemukakan dalam bentuk penyelesaian masalah. Soalan ini melibatkan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK). Sebahagian besar soalan berbentuk penyelesaian masalah ini disertai dengan rajah , jadual, gambar rajah, jadual maklumat dan graf. Calon perlu ingat bahawa rajah, gamabar rajah, jadual maklumat dan graf itu merupakan sebahagian daripada soalan.

Berdasarkan analisis, kita dapati 5 topik yang paling popular dikemukakan dalam Kertas 1 ialah
1. Wang
2. Pecahan
3. Perpuluhan
4. Peratus
5. Ruang

Kebanyakan (75%) soalan Kertas 1 memerlukan kefahaman kepada ayat dan perkataan yang digunakan. Calon perlu memikirkan cara, langkah dan bentuk yang jelas dan boleh melihat sesuatu masalah dengan pelbagai gambaran.

Kesimpulannya, untuk menguasai Matematik Kertas 1, calon perlu mahir, faham dan boleh menguasai semua topik dalam sukatan pelajaran.

Oleh itu, pelajar dinasihatkan membuat banyak latihan secara berterusan supaya dapat melatih diri menyelesaikan pelbagai masalah Matematik dengan betul dan mudah.

Langkah itu perlu kerana Matematik tidak seperti matapelajaran lain yang boleh dipelajari menerusi pembacaan. Dengan latihan yang banyak, pelajar pastinya akan dapat mengukuhkan dan meningkatkan lagi tahap penguasaan dalam Matematik.


PENGENALAN KERTAS 2

Matematik Kertas 2 mengandungi 20 soalan dengan ciri-ciri seperti berikut :

1. Soalan berbentuk subjektif (Soalan diberikan dan calon perlu memberikan jawapan bertulis).

2. Jawab 20 soalan dalam masa 40 minit sahaja.

3. Langkah pengiraan sesuatu soalan perlu ditunjukkan sebelum memberikan jawapan.

4. 20 soalan yang diberi terdiri daripada 3 aras markah atau kemahirannya.

5. Kebiasaannya 5 soalan jenis 1 markah setiap satu, 10 soalan 2 markah setiap satu, dan 5 soalan lagi 3 markah setiap satu.

6. Setiap jawapan yang diberikan perlu disertakan langkah pengiraan yang jelas dan boleh diterima untuk mendapatkan jawapan.

7. Susunan soalan bermula dari soalan 1 markah, 2 markah, dan 3 markah.

Soalan Kertas Matematik 2 kerap dianggap soalan yang mudah. Bagaimanapun, anda perlu tahu, faham dan boleh meberikan jawapan dengan tepat dan betul. Ada murid beranggapan soalannya mudah, namun perlu diingatkan bahawa soalan yang dikemukakan sememangnya agak mudah tetapi langkah untuk memberikan jawapan adalah amat diperlukan.

Kesilapan yang sering dilakukan calon ialah kurang memberikan tumpuan dalam menunjukkan langkah-langkah pengiraan yang perlu dilakukan untuk memberikan jawapan yang betul. Calon biasanya menulis terus jawapan berdasarkan soalan yang dianggap mudah dan boleh diberikan jawapan dengan cepat. Perkara seperti ini biasanya menyebabkan calon gagal mendapatkan markah penuh bagi setiap soalan.

Bentuk Soalan Kertas 2

Soalan 1 markah

Kebiasaannya soalan 1 markah yang dikemukakan lebih kepada soalan aras pengetahuan yang meliputi tajuk dan kemahiran seperti berikut:

1. Nombor
- Nilai tempat atau nilai digit
- Susun angka-angka menjadi suatu nombor terbesar atau terkecil
- Menulis angka daripada perkataan atau sebaliknya
- Perbundaran kepada nilai terdekat dalam puluh, ratus, ribu atau pulh ribu.

2. Operasi yang empat
- Tambah, tolak, darab dan bahagi
- Perlu mengumpul semula
- Hasil darab nombor dengan 1 atau 2 digit
- Hasil bahagi tanpa baki atau mungkin berbaki

3. Menukar sebutan dalam
- Pecahan, peratus atau perpuluhan
- Pecahan termudah / setara

Anda perlu memberikan jawapan tepat bagi setiap soalan bagi mendapatkan 1 markah. Jika jawapan kurang tepat, maka soalan tersebut tiada markah walaupun anda telah menunjukkan langkah pengiraan yang betul.

Soalan 2 markah

Soalan yang dikemukakan perlu dijawab dengan menyertakan atau memberikan langkah pengiraan sebelum menytakan jawapan tepat. Untuk mendapatkan markah penuh, anda perlu menyatakan cara mendapatkan jawapan yang boleh diterima.

Soalan 2 markah yang dikemukakan lebih kepada soalan aras pemahaman konsep matematik yang meliputi tajuk atau kemahiran seperti berikut:

1. Pecahan
- Operasi tolak atau tambah
- Dengan kuantiti / bilangan
- Ada rajah / gambar rajah pecahan

2. Perpuluhan
- Operasi yang empat
- Ada rajah / gambar rajah pecahan

3. Peratus
- Cari peratus daripada kuantiti
- Mencari kuantiti daripada peratus
- Ada rajah / gambar rajah pecahan

4. Ruang
- Menamakan ruang dan bongkah
- Melukis rajah dan bentuk
- Menentukan perimeter rajah

5. Wang
- Sebutan dalam RM atau Sen
- Nilai barangan / jumlah wang

6. Sukatan
- Melibatkan berat, panjang dan isipadu cecair
- Menukar sebutan
- Nilai dalam pecahan / perpuluhan
- Menjumlah dan membeza nilai

7. Purata
- Menjumlah sehingga 5 nilai
- Melibatkan sukatan / kuantiti

8. Masa dan Waktu
- Sebutan jam am / pm dan sisten 24 jam
- Kalendar
- Ada rajah / gambar rajah

9. Operasi Bercampur
- 2 daripada 4 operasi
- Gunakan cara "bodmas"

Soalan 3 markah

Soalan 3 markah pula lebih tertumpu kepada langkah menentukan jawapan sesuatu soalan. Anda perlu menunjukkan langkah pengiraan sekurang-kurangnya 2 langkah sebelum memberikan jawapan yang betul. Langkah pengiraan dinilai daripada aspek boleh memberikan jawapan dengan wajar.

Soalan 3 markah lebih kepada aplikasi konsep matematik yang meliputi tajuk atau kemahiran seperti berikut :
1. Sukatan dan tempoh masa
2. Wang, untung rugi, kiraan bil, jual beli
3. Ruang dan bentuk, perimeter atau luas
4. Purata sehingga 5 nilai / kumpulan
5. Unit metrik - pengiraan sukatan berat, panjang dan isipadu

Panduan Menjawab Soalan Kertas 2

1. Pastikan tajuk atau kemahiran yang banyak disoal dalam peperiksaan telah dikuasai dengan baik.
2. Kerap membuat latihan berkaitan tajuk-tajuk tersebut.
3. Pastikan setiap soalan diberikan langkah pengiraan yang tepat sebelum memberikan jawapan.
4. Buat latihan berkumpulan, bertukar pandangan berkaitan langkah menjawab soalan.
5. Buat ujian dengan tetapkan masa menjawab - setiap minggu atau 2 minggu sekali.

Sekian...

0 ulasan:

Jumlah Paparan Halaman

Catatan Popular

About this blog

Blog ini direka untuk perkongsian ilmu berkaitan matematik. Diharap ilmu yang dicatat dapat sama-sama kita amalkan. Segala maklumat yang terkandung dalam blog ini mungkin diambil dari blog-blog yang telah dibaca oleh penulis. Diharap, apa yang dikongsikan dapat memberi manafaat kepada semua.
ILMU..TUNTUT..SEBAR...